Wednesday, October 17, 2012

BERITA HARIAN - IKON LELAKI (29 Januari 2011)



BERBEKAL pengalaman luas dalam bidang solekan dan penataan gaya, siapa sangka Azman Razali berjaya memecah tembok halangan menjadi anak Melayu pertama bekerja dengan stesen kabel antarabangsa, Aljazeera berpangkalan di Kuala Lumpur. Mari kongsi portfolio hebat, Ketua Jabatan Operasi Solekan & Pakaian Aljazeera ini...


KAGUM dengan keupayaan anak tempatan ini meraih kepercayaan stesen kabel antarabangsa, Aljazeera untuk merias wajah personalitinya sejak beroperasi di Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur, kira-kira lima tahun lalu.
Bukan sekadar menyolek wajah, personaliti pilihan XY - Ikon Lelaki minggu ini yang bagai tidak dimamah usia biarpun sudah mencecah usia 50 tahun, turut bertanggungjawab menjadi penata gaya bagi segmen berita.

Itulah tanggungjawab besar yang tergalas di bahu Azman sejak hari pertama Aljazeera bertapak di ibu negara pada 2006. Saban hari, berbekal sentuhan magisnya, Azman beraksi bagi memastikan barisan penyampai stesen televisyen itu tampil profesional dan penuh bergaya di depan kamera.

Veronica Pedrosa, Teymoor Nabili, Lian Pek, Hamish Mcdonald dan Fauziah Ibrahim adalah antara beberapa penyampai berita Aljazeera yang sudah arif dengan kepakaran dimiliki jurusolek ini dalam berdandan.

Sesuai dengan statusnya sebagai stesen penyiaran antarabangsa, team XY - Ikon Lelaki perlu menunggu lampu hijau dari Dubai sebelum dapat menjejakkan kaki di tingkat 60, Menara 2, Menara berkembar Petronas di Kuala Lumpur untuk sesi temuramah dan fotografi.

“Bukan mudah mendapat kepercayaan stesen antarabangsa kerana mereka mahu standard yang tinggi dalam apa saja keadaan. Lebih-lebih lagi, kita harus sentiasa bersedia untuk segala kemungkinan termasuk perlu menyolek dalam kadar segera.
“Walaupun sekadar menyolek dan menata rias pakaian, suasananya berbeza apabila kita bekerja dengan syarikat antarabangsa. Ini kerana imej korporat serta standard yang ditetapkan cukup tinggi membuatkan kita harus bersiap sedia untuk memajukan diri,” kata Azman yang sudah membabitkan diri lebih 25 tahun dalam dunia solekan.

Ketika berada di dalam set berita Aljazeera yang selama ini ditonton di kaca televisyen, Azman sibuk menyolek Pedrosa. Dalam nada bergurau, Pedrosa sempat menyampuk bahawa Azman akan lebih terkenal selepas dipaparkan di akhbar.

“Kita harus bersedia dan cuba memenangi hati penyampai berita. Ini erana setiap daripada mereka mempunyai karektor dan mood tersendiri. Lebih-lebih lagi, tatkala mereka berdepan dengan tekanan setiap kali ke udara secara langsung dalam set berita.

“Dalam hal ini, pengalamanlah yang mampu menjadikan kita lebih matang dan sabar melayani kerenah penyampai,” kata Azman.

Jom kongsi cerita Azman...

Boleh anda ceritakan bagaimana segala-galanya bermula hingga anda terpilih bertugas di Aljazeera?

Faktor pengalaman di mana sebelum ini saya pernah bekerja dengan stesen televisyen tempatan TV3 dan ntv7. Itu menjadi antara kelebihan untuk saya mencuba nasib di Aljazeera. Ketika saya cuba memohon, tidak sangka pula saya sudah disenaraikan untuk ditemuduga.

Namun, bukan mudah untuk meyakinkan mereka kerana seingat saya, empat kali sesi temuduga dikendalikan sebelum saya terpilih.

Tidakkah anda kekok berdepan cabaran bekerja dalam produksi antarabangsa?

Memang ketara cara bekerja serta senarionya di Aljazeera. Ini kerana operasi stesen televisyen ini ditonton seluruh dunia. Tumpuan pula memang pada konsep berita serta penyampainya.

Teknik solekan juga seharusnya disesuaikan dengan konsep Aljazeera sendiri, membuatkan kita perlu bersedia untuk apa saja keadaan.

Apa agaknya antara ‘kejutan’ yang perlu anda tempuhi hari-hari?

Ketika di peringkat awal bekerja di Aljazeera, kita sentiasa ‘diuji’ di mana perlu menyiapkan penyampai berita dalam tempoh sangat singkat. Ada ketikanya, saya hanya diberi masa 30 minit saja untuk menyolek dan menyediakan pakaian.

Bayangkan, yang mana perlu disolek, highlight serta perlu didandan. Namun, pengalaman selama lebih 25 tahun banyak membantu saya berdepan dengan senario begini.

Bagaimana rasanya bekerja dengan penyampai berita popular?

Berbanding stesen televisyen tempatan di mana kita bertindak sebagai ketua, senarionya pula berbeza di sini. Di sini, kita bekerja untuk mereka selain perlu memahami serta melayani mood setiap penyampai.

Namun, berbalik kepada pengalaman kita tadi, keadaan ini mampu ditangani dengan baik. Malah, andai salah faham berlaku, segala-galanya akan kembali normal sebaik kerja selesai.

Apakah ini bermakna, setiap penyampai mempunyai standard yang tinggi serta cerewet untuk bersiap?

Sudah semestinya kita mahukan yang terbaik dan mereka juga berfikiran sama. Sudah lama berkecimpung dalam bidang ini, saya akur bukanlah faktor kurang solekan atau dandanan, sebaliknya ini disebabkan penyampai sering berasa tertekan, lebih-lebih lagi perlu ke udara secara langsung dan bersedia untuk menjawab laporan secara langsung.

Sudah lima tahun berkhidmat di sini, semua penyampai berita dan personaliti serasi untuk bekerjasama.

Bagaimana perasaan anda apabila mampu memecah tembok sempadan untuk menjadi jurusolek bertaraf antarabangsa?

Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana dikurniakan bakat serta kebolehan dalam dunia solekan serta perunding imej. Kalau hendak dikatakan perasaan, memang berbangga kerana kita mampu berdiri sama tinggi dan setaraf jurusolek antarabangsa.

Andai kita tidak mencuba, memang orang luar tidak menyedari kemampuan bakat jurusolek tempatan.

Boleh ceritakan antara rutin dan tugas anda di Aljazeera?

Selain perlu merancang pakaian dan imej penyampai, solekan juga di bawah tanggungjawab saya dengan dua orang pembantu. Lazimnya, sejam sebelum on air penyampai sudah tiba di bilik solekan untuk bersiap.

Tidak saja selesai di bilik solekan, kita harus melakukan solekan susulan atau touch up setiap kali waktu siaran iklan.

Apa nasihat anda kepada generasi muda yang berminat mendalami seni solekan?

Bagi saya, komitmen kita haruslah 100 peratus untuk mendalami bidang ini. Biarpun saya sudah lama dalam dunia solekan, tidak bermakna saya tidak perlu lagi belajar. Ini kerana bagi saya, setiap hari adalah proses mempertingkatkan skil serta kemahiran diri.

Malah, Aljazeera menjadi pelopor kepada teknik air brush dalam solekan menjadikan solekan nampak begitu halus di depan kamera berteknologi HD. Semua ini kita harus pelajari setiap masa.

Apa sasaran anda selepas ini?

Mungkin bagi sesetengah orang, apa yang dikecapi sudah memadai. Tetapi setiap waktu adalah proses untuk meningkatkan diri. Saya juga sentiasa komited pada kerja dan Insya-Allah jika tiada halangan, memang ada ruang yang lebih besar menanti saya di Aljazeera.

Siapa tahu, tidak mustahil selepas ini saya akan bertugas di ibu pejabat Aljazeera di Doha.

'Mesti pandai simpan rahsia'

SELAMA bertugas sebagai Ketua Jabatan Operasi Solekan & Pakaian Aljazeera di Kuala Lumpur, banyak pengalaman diraih Azman termasuk dipertanggungjawabkan menyolek golongan terkenal dan kenamaan yang ditemuramah stesen televisyen itu.

Antara yang paling diingati jurusolek tersohor ini ialah peluang menyolek mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sebenarnya, peluang menyolek Tun bukanlah kali pertama kerana sebelum bertugas di Aljazeera, saya pernah berpeluang menyolek beliau. Tetapi siapalah kita untuk Tun kenali, cuma Tun Siti Hasmah yang pantas menegur kerana perasan muka saya.

“Apabila bersama orang kenamaan ini, kita tidak bolehlah terlalu rancak bercerita kecuali kalau mereka bertanyakan itu dan ini barulah kita boleh mencelah sama,” katanya yang turut memiliki blog peribadi www.azmanrazali.blogspot.com.

Azman Razali turut berpesan, untuk berjaya menempa nama dalam bidang solekan dan penataan gaya, seseorang harus pandai menyimpan rahsia dan tidak sesekali mengaibkan orang yang disolek.

Baginya, tugas jurusolek adalah untuk menaikkan seri wajah serta menambah pakej penampilan, bukannya menjaja cerita buruk orang lain.

“Bayangkan, lebih sejam kita menyolek pelanggan, tidak kiralah kenamaan, selebriti atau ahli perniagaan, tentu bermacam cerita dikongsi, didengar dan dilihat termasuk perbualan mereka di telefon.

“Jadi, dalam suasana begini, terpulanglah pada kita sama ada mahu menjadi jurusolek beramanah atau sebaliknya,” katanya yang memiliki ramai anak didik di kalangan jurusolek artis terkenal tanah air seperti Baby Elle, Zulfazli, Zul Hisham dan Hathim Thai.

Menyentuh pengalaman luasnya dalam bidang solekan, Azman menyimpulkan beliau bertuah kerana dikurniakan bakat semula jadi serta minat mendalam dalam seni halus. Malah, pada awal pembabitannya, beliau banyak belajar menyolek penari kebudayaan di Kedah sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur.

“Keluarga tidak menghalang kerana mereka akur dengan minat saya. Apabila bersama dengan Dewi Kasturi Dance Troupe, pendedahan lebih diterima sehingga saya berpeluang untuk melebarkan bakat dalam bidang tarian serta koreografi.

“Minat yang ada turut membawa saya melanjutkan pengajian di Padepokan Seni Bagong K di Jogjakarta, Indonesia selama enam bulan. Di tempat inilah saya menemui kecintaan dalam seni solekan, tarian, pentas teater, koreografi dan banyak lagi cabang seni halus,” katanya yang akan menyokong apa saja keinginan dan minat anaknya termasuk berkecimpung dalam bidang seni solekan dan fesyen.

Ditanya bagaimana beliau mampu bertahan selama tiga dekad dalam dunia solekan dan penataan gaya, Azman menyimpulkan, keinginan untuk belajar perlu menjadi pegangan kerana ia umpama kunci untuk terus relevan dalam pasaran seni solek dan tata rias.


Wartawan - Fairuz Zaidan, Berita Harian











 
Another Blog Designed & Created By norkhairi
© All Rights Reserved