Wednesday, October 17, 2012

BERITA HARIAN - IKON LELAKI (29 Januari 2011)



BERBEKAL pengalaman luas dalam bidang solekan dan penataan gaya, siapa sangka Azman Razali berjaya memecah tembok halangan menjadi anak Melayu pertama bekerja dengan stesen kabel antarabangsa, Aljazeera berpangkalan di Kuala Lumpur. Mari kongsi portfolio hebat, Ketua Jabatan Operasi Solekan & Pakaian Aljazeera ini...


KAGUM dengan keupayaan anak tempatan ini meraih kepercayaan stesen kabel antarabangsa, Aljazeera untuk merias wajah personalitinya sejak beroperasi di Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur, kira-kira lima tahun lalu.
Bukan sekadar menyolek wajah, personaliti pilihan XY - Ikon Lelaki minggu ini yang bagai tidak dimamah usia biarpun sudah mencecah usia 50 tahun, turut bertanggungjawab menjadi penata gaya bagi segmen berita.

Itulah tanggungjawab besar yang tergalas di bahu Azman sejak hari pertama Aljazeera bertapak di ibu negara pada 2006. Saban hari, berbekal sentuhan magisnya, Azman beraksi bagi memastikan barisan penyampai stesen televisyen itu tampil profesional dan penuh bergaya di depan kamera.

Veronica Pedrosa, Teymoor Nabili, Lian Pek, Hamish Mcdonald dan Fauziah Ibrahim adalah antara beberapa penyampai berita Aljazeera yang sudah arif dengan kepakaran dimiliki jurusolek ini dalam berdandan.

Sesuai dengan statusnya sebagai stesen penyiaran antarabangsa, team XY - Ikon Lelaki perlu menunggu lampu hijau dari Dubai sebelum dapat menjejakkan kaki di tingkat 60, Menara 2, Menara berkembar Petronas di Kuala Lumpur untuk sesi temuramah dan fotografi.

“Bukan mudah mendapat kepercayaan stesen antarabangsa kerana mereka mahu standard yang tinggi dalam apa saja keadaan. Lebih-lebih lagi, kita harus sentiasa bersedia untuk segala kemungkinan termasuk perlu menyolek dalam kadar segera.
“Walaupun sekadar menyolek dan menata rias pakaian, suasananya berbeza apabila kita bekerja dengan syarikat antarabangsa. Ini kerana imej korporat serta standard yang ditetapkan cukup tinggi membuatkan kita harus bersiap sedia untuk memajukan diri,” kata Azman yang sudah membabitkan diri lebih 25 tahun dalam dunia solekan.

Ketika berada di dalam set berita Aljazeera yang selama ini ditonton di kaca televisyen, Azman sibuk menyolek Pedrosa. Dalam nada bergurau, Pedrosa sempat menyampuk bahawa Azman akan lebih terkenal selepas dipaparkan di akhbar.

“Kita harus bersedia dan cuba memenangi hati penyampai berita. Ini erana setiap daripada mereka mempunyai karektor dan mood tersendiri. Lebih-lebih lagi, tatkala mereka berdepan dengan tekanan setiap kali ke udara secara langsung dalam set berita.

“Dalam hal ini, pengalamanlah yang mampu menjadikan kita lebih matang dan sabar melayani kerenah penyampai,” kata Azman.

Jom kongsi cerita Azman...

Boleh anda ceritakan bagaimana segala-galanya bermula hingga anda terpilih bertugas di Aljazeera?

Faktor pengalaman di mana sebelum ini saya pernah bekerja dengan stesen televisyen tempatan TV3 dan ntv7. Itu menjadi antara kelebihan untuk saya mencuba nasib di Aljazeera. Ketika saya cuba memohon, tidak sangka pula saya sudah disenaraikan untuk ditemuduga.

Namun, bukan mudah untuk meyakinkan mereka kerana seingat saya, empat kali sesi temuduga dikendalikan sebelum saya terpilih.

Tidakkah anda kekok berdepan cabaran bekerja dalam produksi antarabangsa?

Memang ketara cara bekerja serta senarionya di Aljazeera. Ini kerana operasi stesen televisyen ini ditonton seluruh dunia. Tumpuan pula memang pada konsep berita serta penyampainya.

Teknik solekan juga seharusnya disesuaikan dengan konsep Aljazeera sendiri, membuatkan kita perlu bersedia untuk apa saja keadaan.

Apa agaknya antara ‘kejutan’ yang perlu anda tempuhi hari-hari?

Ketika di peringkat awal bekerja di Aljazeera, kita sentiasa ‘diuji’ di mana perlu menyiapkan penyampai berita dalam tempoh sangat singkat. Ada ketikanya, saya hanya diberi masa 30 minit saja untuk menyolek dan menyediakan pakaian.

Bayangkan, yang mana perlu disolek, highlight serta perlu didandan. Namun, pengalaman selama lebih 25 tahun banyak membantu saya berdepan dengan senario begini.

Bagaimana rasanya bekerja dengan penyampai berita popular?

Berbanding stesen televisyen tempatan di mana kita bertindak sebagai ketua, senarionya pula berbeza di sini. Di sini, kita bekerja untuk mereka selain perlu memahami serta melayani mood setiap penyampai.

Namun, berbalik kepada pengalaman kita tadi, keadaan ini mampu ditangani dengan baik. Malah, andai salah faham berlaku, segala-galanya akan kembali normal sebaik kerja selesai.

Apakah ini bermakna, setiap penyampai mempunyai standard yang tinggi serta cerewet untuk bersiap?

Sudah semestinya kita mahukan yang terbaik dan mereka juga berfikiran sama. Sudah lama berkecimpung dalam bidang ini, saya akur bukanlah faktor kurang solekan atau dandanan, sebaliknya ini disebabkan penyampai sering berasa tertekan, lebih-lebih lagi perlu ke udara secara langsung dan bersedia untuk menjawab laporan secara langsung.

Sudah lima tahun berkhidmat di sini, semua penyampai berita dan personaliti serasi untuk bekerjasama.

Bagaimana perasaan anda apabila mampu memecah tembok sempadan untuk menjadi jurusolek bertaraf antarabangsa?

Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana dikurniakan bakat serta kebolehan dalam dunia solekan serta perunding imej. Kalau hendak dikatakan perasaan, memang berbangga kerana kita mampu berdiri sama tinggi dan setaraf jurusolek antarabangsa.

Andai kita tidak mencuba, memang orang luar tidak menyedari kemampuan bakat jurusolek tempatan.

Boleh ceritakan antara rutin dan tugas anda di Aljazeera?

Selain perlu merancang pakaian dan imej penyampai, solekan juga di bawah tanggungjawab saya dengan dua orang pembantu. Lazimnya, sejam sebelum on air penyampai sudah tiba di bilik solekan untuk bersiap.

Tidak saja selesai di bilik solekan, kita harus melakukan solekan susulan atau touch up setiap kali waktu siaran iklan.

Apa nasihat anda kepada generasi muda yang berminat mendalami seni solekan?

Bagi saya, komitmen kita haruslah 100 peratus untuk mendalami bidang ini. Biarpun saya sudah lama dalam dunia solekan, tidak bermakna saya tidak perlu lagi belajar. Ini kerana bagi saya, setiap hari adalah proses mempertingkatkan skil serta kemahiran diri.

Malah, Aljazeera menjadi pelopor kepada teknik air brush dalam solekan menjadikan solekan nampak begitu halus di depan kamera berteknologi HD. Semua ini kita harus pelajari setiap masa.

Apa sasaran anda selepas ini?

Mungkin bagi sesetengah orang, apa yang dikecapi sudah memadai. Tetapi setiap waktu adalah proses untuk meningkatkan diri. Saya juga sentiasa komited pada kerja dan Insya-Allah jika tiada halangan, memang ada ruang yang lebih besar menanti saya di Aljazeera.

Siapa tahu, tidak mustahil selepas ini saya akan bertugas di ibu pejabat Aljazeera di Doha.

'Mesti pandai simpan rahsia'

SELAMA bertugas sebagai Ketua Jabatan Operasi Solekan & Pakaian Aljazeera di Kuala Lumpur, banyak pengalaman diraih Azman termasuk dipertanggungjawabkan menyolek golongan terkenal dan kenamaan yang ditemuramah stesen televisyen itu.

Antara yang paling diingati jurusolek tersohor ini ialah peluang menyolek mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sebenarnya, peluang menyolek Tun bukanlah kali pertama kerana sebelum bertugas di Aljazeera, saya pernah berpeluang menyolek beliau. Tetapi siapalah kita untuk Tun kenali, cuma Tun Siti Hasmah yang pantas menegur kerana perasan muka saya.

“Apabila bersama orang kenamaan ini, kita tidak bolehlah terlalu rancak bercerita kecuali kalau mereka bertanyakan itu dan ini barulah kita boleh mencelah sama,” katanya yang turut memiliki blog peribadi www.azmanrazali.blogspot.com.

Azman Razali turut berpesan, untuk berjaya menempa nama dalam bidang solekan dan penataan gaya, seseorang harus pandai menyimpan rahsia dan tidak sesekali mengaibkan orang yang disolek.

Baginya, tugas jurusolek adalah untuk menaikkan seri wajah serta menambah pakej penampilan, bukannya menjaja cerita buruk orang lain.

“Bayangkan, lebih sejam kita menyolek pelanggan, tidak kiralah kenamaan, selebriti atau ahli perniagaan, tentu bermacam cerita dikongsi, didengar dan dilihat termasuk perbualan mereka di telefon.

“Jadi, dalam suasana begini, terpulanglah pada kita sama ada mahu menjadi jurusolek beramanah atau sebaliknya,” katanya yang memiliki ramai anak didik di kalangan jurusolek artis terkenal tanah air seperti Baby Elle, Zulfazli, Zul Hisham dan Hathim Thai.

Menyentuh pengalaman luasnya dalam bidang solekan, Azman menyimpulkan beliau bertuah kerana dikurniakan bakat semula jadi serta minat mendalam dalam seni halus. Malah, pada awal pembabitannya, beliau banyak belajar menyolek penari kebudayaan di Kedah sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur.

“Keluarga tidak menghalang kerana mereka akur dengan minat saya. Apabila bersama dengan Dewi Kasturi Dance Troupe, pendedahan lebih diterima sehingga saya berpeluang untuk melebarkan bakat dalam bidang tarian serta koreografi.

“Minat yang ada turut membawa saya melanjutkan pengajian di Padepokan Seni Bagong K di Jogjakarta, Indonesia selama enam bulan. Di tempat inilah saya menemui kecintaan dalam seni solekan, tarian, pentas teater, koreografi dan banyak lagi cabang seni halus,” katanya yang akan menyokong apa saja keinginan dan minat anaknya termasuk berkecimpung dalam bidang seni solekan dan fesyen.

Ditanya bagaimana beliau mampu bertahan selama tiga dekad dalam dunia solekan dan penataan gaya, Azman menyimpulkan, keinginan untuk belajar perlu menjadi pegangan kerana ia umpama kunci untuk terus relevan dalam pasaran seni solek dan tata rias.


Wartawan - Fairuz Zaidan, Berita Harian











Friday, July 20, 2012

"RAMADHAN 2012 MASIHI.... Doha, Qatar

"RAMADHAN KAREEM"....Selamat Berpuasa dan Menyambut bulan Ramadhan yang mulia..    Biar lah dimulai Ramadhan yg mulia ini dengan Ku pohon maaf pada semua kalau ada selama ini yang terguris dan terkilan dengan coretan di blog ini dan pada rakan rakan yg sentiasa mengikuti perkembangan Man Kasturi , terima kasih atas segala sokongan dan doa..Maaf juga kerana kerana sudah lama tidak bercerita di blog ni kerana mencari waktu yang sesuai dan mood yang entah hilang tak tau dimana...

Semoga Ramadhan 2012 kali ini membawa kebahgiaan dan barakah yang tinggi dalam segala perbuatan dan amalan kita...

Pada Ku yang dirantau Semenanjung berpasir Qatar ini berharap sangat dapat ku lalui dengan sempurna nya Ramadhan Al Mubarak ini dengan penuh tawaduk walau pun dugaan nya mungkin lebih menekan jiwa kerana berseorangan jauh dari Keluarga dan Negara tercinta...







AzRaz, Doha...

Friday, March 9, 2012

RENDANG AYAM TUMIS PEDAS - Selera D' Rantau




Ini lah Rendang orang bujang di rantau, RENDANG AYAM TUMIS PEDAS





Malam ni terlebih rajin pulak, balik je kerja tadi..terus keluarkan ayam beku dari peti, dibiarkan kat sinki supaya cair sebab tiba tiba teringin pulak nak makan Rendang tumis pedas dari dalam teksi perjalanan balik dari kerja dah teringat ingat......mesti ramai yang terkejut "Rendang"!!! lambat la nak makan kan? sebab nya rendang masak lama...tapi sebenar nya sambal rendang yg tiga suku masak saya dah masak dulu dan disimpan beku dalam peti ais, apabila saya teringin nak makan rendang saya keluar kan dan ada cara nak masak nya, maklum lah hidup membujang di rantau ni kena lah pandai pandai nak hidup kan!!!

Apabila kuah/sambal rendang ini dah dimasak dahulu dan disimpan, jadi memudahkan kita apabila nak masak rendang dengan segera, rasa rendang segera ini pun tidak kurang sedap, pada siapa yang sukakan rendang yg kering, ni "the best lah".. ini resepi istimewa dari arwah org tua saya yang saya olah untuk kesesuaian pada yang hendak menyimpan dan makan rendang yang terasa masih segar..

Kuah/sambal rendang(untuk lebih kurang satu mangkuk besar)
,,,,cara dan bahan bahan nya :-
1. Bawang merah - 12 ulas (dikisar)
2. Bawang putih - 6 ulas (dikisar)
3. Santan - 4 biji kelapa
4. Cili kisar(boh) - 4 senduk nasi
5. Cili padi/api - 20 biji (dikisar)
6. Halia - 1 1/2 inci (dikisar)
7. Lengkuas - 2 inci (dikisar)
8. Serai - 8 batang (dikisar)
9. Daun kunyit - 3 helai besar
10. Daun limau purut - 4 helai
11. Serbuk kunyit - 4 sudu makan
12. Kerisik - 1/2 biji kelapa
13. Kuib Ayam Knorr - 2 kuib
14. Asam keping - 3 keping besar
15. Garam/gula - mengikut selera

Masukkan semua bahan yang dikisar kedalam kuali bersama santan, cili kisar dan kuib ayam knorr... kacau rata, Dengan api yg sederhana masak bahan bahan tadi sambil sentiasa dikacau, apabila ianya dah mula pekat masuk kan kerisik, daun kunyit,daun limau purut, asam keping dan garam. Dan sedikit gula kalau suka, Kecil kan api dan kacau perlahan lahan sehingga kuah rendang sedikit kering. Bolih lah tutup api dan disejukkan apabila sudah benar benar sejuk baru lah bolih disimpan didalam peti sejuk..

Rendang Ayam Tumis Pedas -
1. Ayam - 1/2 ekor (dipotong 6)
2. bawang kecil - 3 ulas
3. bawang putih - 2 ulas
4. kunyit - 1 sudu makan
5. Garam - secukup rasa
6. Minyak - 1 senduk nasi
7. Kuah/sambal rendang - 4 senduk nasi

Cara masak nya -
Campurkan dan gaul semua bahan dari 1 hingga 5..panaskan minyak didalam kuali dengan api sederhana jangan terlampau besar sebab kita hendak ayam masak dengan sempurna dan bawang tidak hangit.., apabila minyak panas masukkan bahan yang telah digaul tadi dan kacau perlahan..apabila ayam sudah separuh masak masukkan pula kuah/sambal rendang, kecil kan api, kacau supaya rendang tidak hangit..apabila rendang sudah mula kering bolih lah padam kan api. Dan bolih lah dihidangkan dengan nasi panas panas..







AzRaz, Doha..

Saturday, March 3, 2012

LAHIR NYA - "Sanggul Pengantin Melayu Moden,Kontemporari dan Tradisional"

Syukur pada yang Esa, akhir nya lahir juga buku pertama hasil tulisan dan garapan saya "Sanggul Pengantin Melayu - Moden,Kontemporari dan Tradisional". Pada 2 hb Mac 2012 bersamaan hari Jumaat yg mulia (mudah mudahan mendapat berkat), setelah menunggu lebih 3 bulan selepas segala nya siap dari pihak saya dan beralih tangan ke pihak penerbitan Alaf 21 untuk proses seterus nya...

ALHAMDULLILAH....

Apabila melihat hasil nya melalui gambar gambar di FB..lega dan terharu sungguh rasa nya... Walau pun tidak dapat melihat sepenuh nya dan menjadi orang pertama memiliki nya( sepatut nya tidak) kerana saya berkerja di Doha, Qatar sekarang tetapi saya yakin dengan komen yang diberikan rakan rakan di Kuala Lumpur yang dapat melihat dan membaca nya...


Terhasil nya buku ini dengan harapan akan menjadikan suatu dorongan dan panduan pada para pembaca yang berkerjaya atau pelajar dalam bidang yang ada kena mengena dengan pembuatan dan dandanan sanggul.. Juga buat peminat budaya kecantikan Melayu, dapat menyimpan nya dan mungkin menjadi rujukan bila diperlukan..Teknik "step by step" yang saya tunjukkan dalam buku ini bukan hanya mudah tapi jelas sekali..

Dari bahan bahan dan peralatan yang digunakan untuk dandanan sanggul akan diperjelaskan dalam buku ini dan memudahkan pada sesiapa yang baru hendak berjinak jinak dalam dunia dandanan dan kecantikan kerana ia nya sungguh lengkap...




Juga supaya teknik dan ilmu pembuatan sanggul yang ada pada saya dapat saya kongsi kan bersama.. Pengalaman selama lebih 25 tahun dalam bidang ini dapat dikongsi bersama dan dengan tips tips berguna yang saya kutip selama tempoh saya berkecimpung dalam bidang ini juga ada pada buku ini.

Ada belbagai jenis sanggul yang bertema ditekankan pada penulisan saya.. supaya jelas dan tidak bercelaru dengan konsep perkahwinan Melayu itu sendiri. Seperti


Sanggul Tradisional...

Sanggul Tradisional Berhias
Sanggul Moden/Kontemporari
Sanggul 3 Acara Majlis(berinai,nikah,persandingan)






PAKAIAN PENGANTIN..
Untuk mendapatkan gambaran yang jelas kesesuaian sanggul dengan pakaian dan tema majlis, saya juga mendapatkan bantuan penajaan dari pereka pereka terkenal...

Sebahagian mereka juga adalah anak didik saya dan rakan pereka yang sudah lama bersama saya dalam kebanyakkan projek kerja saya sebagai Pengarah Artistik dan Perunding Imej untuk TV dan Filem....seperti Salikin Sidek, Syahril Nurdin, Hadthim Thai, As Zambri, Mokhtar Halim..

Bukan senang untuk mendapat koleksi pakaian yang mengikut tema apa yang saya perkata kan dalam buku ini, tetapi dengan koleksi mereka menjadikan kerja saya mudah.....tersangat bangga dapat berkerja dengan mereka...

Juga ada sebahagian dari koleksi saya sendiri dari "Dewi Kasturi Art of Beauty"



SOLEKAN MODEL PENGANTIN...
Untuk kelancaran dan memberi saya lebih tumpuan pada rekaan sanggul semasa pengambaran, Dua jurusolek profesional yang juga anak didik saya iaitu Lin Piyan dan Suzana Zainan diberi tugas menyolek sebahagian besar model pengantin buku ini..hasil kerja solekan yang segar dan realistik menjadi pilihan saya, mereka berjaya merelisasikan nya... saya sangat berpuas hati.





PARA MODEL YANG CANTIK MENAWAN....

Terdiri dari Themina Kaoosji,Feza, Ayu,Mea, Azura, Nadia, Farah,Nadiey, Nina and Mila...selain dipilih kerana mempunyai rambut yang sesuai untuk setiap tema sanggul juga kerana mempunyai wajah yang selari dengan bentuk sanggul yang saya akan laksana kan untuk buku ini..



WAN ZALEHA RADZI...



Bertambah bermakna buku ini kerana saya dapat berkerjasama dengan Pengacara tersohor, yang pernah menjadi Fenomena satu ketika dulu dalam industri penyiaran kita...Wan Zaleha Radzi...


Wan Zaleha juga, menjadi model mengayakan sanggul kontemporari...

















SEBAHAGIAN TEMA SANGGUL YANG TERDAPAT DALAM BUKU INI ....





Juga sanggul berhias ini-

"SANGGUL SAYANG SALMAH"































Juga terdapat -

"Sanggul Lipat Pandan Kelopak Lima"


























Sebahagian dari Tajuk Sanggul Tradisional Melayu




"SANGGUL COKERIA DUA"

















Saya bersama Izara, model kulit depan buku saya... Izara adalah artis yang sedang mekar di persada seni lakon Tanah Air.. Wajah nya yang segar dan berkulit putih kemerahan ini memang sesuai untuk menghasilkan suatu cover photografi yang menarik, dan bentuk wajah dan rambut beliau juga memainkan peranan untuk melengkapkan lagi wajah buat Kulit Depan buku "Sanggul Pengantin Melayu MKT" ini...terima kasih Izara..

Juga buat semua yang terlibat dalam penghasilan buku ini.....

Sayang bukan hanya sebutan,
Tanda kasih tersemat di hati,
Budi semalam segunung Intan,
akan ku bawa sampai ke mati


Terima Kasih daun keladi.....





AzRaz, Doha.....

Sunday, February 26, 2012

AYAM HITAM MASAK KANDAR - "Selera D' Rantau"

Di penghujung malam ..dengan cuaca sejuk di Doha ni kita panaskan dengan entry resepi "Ayam HITAM Masak Kandar" khas yang akan saya kongsikan bersama, yang istimewa nya resepi ni saya dapat dari Bapak Mertua saya, Encik Othman Mohideen...dengar nama pun pasti semua dah bolih agak apa keturunan Bapa mertua saya ini...Mamak tapi bukan Penang mari!! tapi Mamak Selangor..lahir di Banting...




Apabila bercakap pasal masakan stail mamak India ni..wajah bapa mertua saya akan sentiasa menjelma, sebab memang dia lah org yg bertanggung jawap mendekatkan saya akan masakan stail mamak India ini..memang kepakaran beliau tidak bolih di sangkal, bekas tukang masak Restoran Yassin, Jln Tuanku Abdul Rahman pada tahun 80an dulu...Kalau yang tau, Restoran Yassin ni famous dengan Nasi Beraini berempah nya..wangi dan sedap sangat...sempat lah saya merasa zaman tu...sekarang dah tutup..

Kalau nak tau geng geng tukang masak bapak mertua saya lah pencetus fenomena ke Restoran Insaf, Jalan Tuanku Abd Rahman sekarang, apabila dia org beralih arah ke sana pada awal 90an... cerita Bapa mertua saya lah..

Masakan ini saya masak semasa pertama kali menjejaki kaki di Doha...di rumah rakan saya Irma...sian tengok dia org dah 4,5 bulan sampai dari Malaysia jadi belum dapat rasa masakan yg kow kow Malaysian...jadi saya masak kan lah, Seronok rasa nya apabila tengok semua berselera makan...masakan ni saya anggarkan untuk lebih kurang 6 org makan...

Ini lah resepi nya ( kalau rasa apa yg kurang pandai pandai lah betulkan).....


Bahan bahan nya :

Goreng dulu :-
Ayam - seekor (yang sederhana kecil) di potong 8
Serbuk kunyit - sedikit (untuk dilumur pada ayam)
Garam - secukup rasa (dilumur pada ayam)

Goreng ayam yang telah dilumurkan kunyit dan garam dengan api yang sederhana...ayam jangan terlampau garing.. setelah masak, angkat dan ditoskan. Ketepikan dulu.

Bahan tumisan dan kuah(sos):-
1. Bawang besar - 2 biji (sederhana besar) - di kisar atau tumbuk
2. Bawang putih - 6 ulas (besar) - di kisar atau tumbuk
3. Halia - 2 inci - di mayang halus
4. Cili giling(boh) - 6 sudu makan
5. Rempah kari daging - 6 sudu makan
7. Lada hitam - - 2 sudu makan - ditumbuk
8. Serbuk ketumbar - 1 sudu makan
9. Kicap lemak manis - 1/2 cawan
10.Kulit kayu manis - 2 potong
11.Bunga Lawang - 6 biji
12.Bunga cengkih - 10 biji
13.Daun Kari - 10 helai
14.Daun Ketumbar - segenggam (separuh disiat siat, separuh lagi untuk hiasan)
15.Daun Pandan - 2 helai
16.Air asam jawa - 1/2 cawan
17.Buah Tomato - 2 biji (Sederhana besar dan dipotong 4)
18.Minyak masak - 1/2 cawan
19.Air - 1/3 cawan

Cara masak nya :-
Dimulakan dengan panas kan minyak di kuali, setelah minyak panas masukkan daun pandan dan Bunga lawang,cengkih dan kulit kayu ,manis...
Apabila naik bau dan wangi masukkan pulak bawang besar sekejap kemudian bawang putih, halia dan daun kari...goreng sampai keemasan.
Kemudian masukkan cili giling dan kacau rata.. apabila cili dah mula masak, kecil kan api sedikit dan masukkan pula serbuk kari,serbuk ketumbar dan lada hitam, kacau hingga masak dan rata.
Kemudian masukan pula air,..air asam jawa dan kicap...kacau rata hingga pekat sedikit dan masukkan buah tomato, daun ketumbar dan garam secukup rasa..

Akhir sekali apabila tomato dah lembut sedikit masukkan ayam yang telah digoreng tadi, kacau rata sehingga ayam dan kuah sebati dan pekat.. bolih lah diangkat, taburkan daun ketumbar yg telah dicarik carik tadi dan dihidangan..

"AYAM HITAM MASAK KANDAR"









AzRaz,Doha.....

Saturday, February 25, 2012

TOM YAM IKAN bersantan - "Selera D' Rantau"


Untuk resepi yang pertama ni kita cuba dengan yg simple dan senang sangat di buat... "Tom Yam Ikan bersantan" segar dan sangat sangat menyelerakan.. bolih di makan dengan nasi atau dihirup panas sebagai pembuka selera, makan pula beriringan dengan kailan ikan masin dan telur dadar..wah!! memang terangkat..bolih terduduk lega dan puas.. Pengsan U !!! Terima kasih kepada Che Mat Gebu kerana mencetus idea...dan kita share la ya...

Di Doha ni terpaksa lah ubah suai sikit mengikut keadaan apa bahan mentah yg bolih dapat..saya guna ikan Sherry sebagai ganti..ikan ni berisi putih sangat sedap kalau di goreng ranggup. Rasa nya macam ikan talipia tapi isi nya lebih kental mcm ikan Siakap..

TomYam ini saya masak semasa kunjungan rakan rakan saya di Doha ini kerumah..dan dihidangkan bersama lauk lauk lain. ada Sayur Goreng kicap, Kentang tempe terung goreng kunyit dan Sambal tumis ikan bilis...terangkat...seronok tengok apabila semua makan dengan selera nya,...nanti ada masa kita coret kan pula lauk lauk yg lain ya...







Bahan bahan nya :

Ikan segar (Siakap, merah) - 4 keping
Pes Tom Yam (adabi) - 1 paket
Tomato - 1 biji besar (dipotong 4)
Bawang besar - 1 biji besar (dipotong 6)
Terung panjang - 1 biji (dibelah dua dan dipotong 2)
Cili padi - 3 biji (diketuk) -
Kuib ikan bilis - 1 ketul
Lada Hitam - 1/2 sudu teh
Santan pekat - 4 sudu makan
Limau nipis/limau kasturi - 4 sudu makan
Daun Limau purut - 3 keping
Daun ketumbar - sedikit masuk kan dalam TomYam dan sedikit untuk hiasan
Air - 3 mangkuk kuah

Tumisan -
Sedikit minyak
Bawang putih - 3 ulas (ditumbuk kasar)
Bawang merah - 5 ulas (ditumbuk kasar)
Halia - 1/2 inci (dimayang)
Lengkuas - 1 inci (dipotong kasar dan diketuk)
Serai - 2 batang (diketuk)

Cara memasak nya -

Panas kan periuk, masuk kan sedikit minyak masak..sampai minyak panas tumis kan bawang putih dan bawang merah dan halia..bawang dah keemasan masukkan lengkuas, serai dan cili api biarkan sekejap dan kacau, bila dah wangi..masukan pulak pes TomYam adabi dan kacau, masuk kan pulak kuib ikan bilis dan air..

Apabila Sop mula mendidih masuk kan ikan,lada hitam, daun limau purut dan air perahan limau, biarkan dalam 3 minit.Masuk kan pula garam mengikut rasa

Akhir nya masuk kan santan, tomato,terung, bawang besar dan sedikit daun ketumbar. Kecil kan api dan biar kan selama 5 minit lagi....siap lah Sudah "Tom Yam Ikan bersantan" kita...

Hidangkan dengan taburan segar daun ketumbar...









AzRaz, Doha......

Friday, February 24, 2012

"SELERA D' RANTAU" Mukadimah

Apabila rindu mengamit pada Malaysia, keluarga dan tekanan kerja yang meruntun jiwa.. jalan yang terbaik ada lah dengan mengalihkan tumpuan sambil menenangkan jiwa .... apa lagi kita gegarkan dapur lah jawap nya!!! korek skill yg dah lama terpendam setelah berumah tangga kerana mendapat isteri yang pandai masak..

Setidak tidak nya tumpuan memasak akan membantu menghilang kan stress tadi.. dan menjimatkan memandangkan kat Doha, mahal segala gala nya..

Nak jalan jalan makan angin selalu sangat macam orang lain tu, memang bolih senget di buat nya..sebab kita ada 6 mulut nak di suapkan...sekali sekala bolih lah kan... berjimat jimat sambil perut pun kenyang.

Dapat juga rakan rakan yg merantau di sini merasa masakan Malaysia am nya dan Melayu khas nya..hilang la jugak rindu kat sambal tumis, masak lemak, kari, masak asam,tomyam dan lain lain kan...sambil mengeratkan silratulrahim sesama sendiri di Rantau ini ...Semenanjung berpasir Qatar...

Kerana rutin memasak di rantau ini..ada rakan rakan yang mencadang kan supaya ia nya di kumpul dan di jadikan kenang kenangan dan di kongsi bersama.. Terhasil lah ruangan coretan ini "Selera D' Rantau"...

Masakan yang dihasilkan ini bukan lah yang terbaik , maaf lah kalau ada yang tak suka.. terpulang kalau nak teruskan membaca atau tidak...tidak menjadi hal..

Untuk nukilan pengenalan ini..kita berbual bual kosong dulu..masuk gear satu dulu..nanti ada masa saya akan mencoret lagi dengan di sertakan resepi dan bercerita tentang bahan bahan yg di gunakan dan macam mana saya sesuaikan dengan apa yg ada di Doha ini..






Masakan orang bujang kata kan..berseorangan di rantau ni.. jadi mungkin ada yang kurang..tapi yang penting semangat juang untuk memenuhi selera tu yang penting..hehehe..

Seronok masak ni sebenar nya..mengembalikan kenangan semasa bujang dulu, semasa duduk dengan rakan yang sama sama merantau di KL dulu,,,



Tengah sedap masak...kenangan bersama rakan serumah menjelma kembali kadang kadang tu ...Semasa saya tinggal di Selayang, Kampung Pandan, Taman Maluri dan Setapak..hahaha..

Lama benar nya saya tidak keletang kelentong dengan senduk belangga.. ada lah sekali sekala apa bila teringin sangat nak masak dan anak anak sibuk nak makan " Chicken Chop" turun lah kita ke dapur....



JUGA ...MENJELMA...

Kenangan bersama GURU semula jadi saya arwah Abah ngan emak, yang dengan tak secara sengaja menjadi guru masakan kepada saya..benar benar melegakan.. .ini lah guna nya..apabila hidup dirantau segala ilmu yang diperturunkan dari kecil sehingga bujang dapat di prektik kan... tips tips yang dari sekecil kecil nya hingga ke sebesar besar nya amat berguna sekali..




Abah memang Otai masak...hendak nya lauk kenduri kendara, terkenal seluruh kampung dan sanak saudara. Jangan harap lah Abah nak terlepas dari masak kalau kenduri sedara mara... confirm kena masak.. Emak pulak macam org kanan Abah kalau masak untuk kenduri tapi kalau kat dapur rumah emak yang berkuasa...walau pun berperang mulut emak tetap menang, itu nama nya "Kuasa Perempuan"...Kenangan bersemadi di hati..



Setelah berumah tangga..Bapa dan Emak mertua pulak memain kan peranan mengambil alih menjadi GURU semulajadi saya..mereka berdua ni memang jaguh masak...dalam tangan kalau setakat masak masakan Selangor dan stail mamak India.. mereka sama juga seperti Emak dan Abah sentiasa beriringan kalau masak..juga masak untuk kenduri kendara...banyak saya belajar tapi tak katam katam, mungkin masak Mamak ngan Minang jauh beza nya...


Apa apa pun..itu semua hanya coretan kenangan pengalaman masak saya... Selamat bertemu kembali nanti..


"Boh saja" masak itu mudah.....

"SELERA D' RANTAU"

























AzRaz, Doha....
 
Another Blog Designed & Created By norkhairi
© All Rights Reserved